-

18.9.09


Mendidik Anak-anak Menurut Islam. (Bahagian 1)

Konsep pendidikan kanak-kanak bermaksud: mendidik,mengasuh dan melatih rohani dan jasmani mereka berteraskan nilai-nilai yang baik.

Sumber rujukan : Al-Quran,hadis dan pendapat serta pengalaman para ulama.

Tujuan : Melahirkan insan rabbani yang beriman ,bertaqwa dan beramal soleh.

Proses pendidikan : Melalui beberapa peringkat,bermula dari sebelum,semasa dan selepas kelahirannya sehingga menjadi dewasa.

a) Sebelum Kelahiran

Ibububapa memainkan peranan dalam membentuk suasana atau persekitaran yang harmoni dengan cara menerapkan nilai-nilai keislaman dalam kehidupan berumahtangga.Rasulullah S.A.W mengingatkan bakal-bakal suami agar memilih bakal isteri yang mempunyai kesungguhan dan penghayatan agama,bukan kerana kecantikan,kemewahan dan keturunan semata-mata.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“ Wanita dikahwini kerana empat perkara,iaitu kerana hartanya,
keturunannya,kecantikannya dan agamanya.Maka pilihlah yang beragama kerana ia menguntungkan kamu (lebih utama)”.

Ketika Anak Dalam Kandungan

Makanan rohani : Sentiasa melakukan amalan seperti berdoa,beribadah,solat,zikir dan memperbanyakkan bacaan Al-Quran terutama :

-Surah Yusuf : Agar anak yang sedang dikandung itu akan elok rupa parasnya,tampan dan segak seperti Nabi Yusuf a.s.

-Surah Maryam : Agar dapat mententeramkan ibu yang sedang mengandung dan dapat bersabar sehingga selamat melahirkan.

-Surah Luqman : Agar anak yang akan dilahirkan itu akan cerdik,pandai,pintar lagi bijaksana.

Makanan jasmani : Sentiasa menjaga kesihatan dengan memilih makanan yang halal,baik dan seimbang.Faktor kesihatan amat dititikberatkan oleh Islam sehingga memberi kelonggaran untuk berbuka puasa kepada ibu yang mengandung sekiranya merasakan puasa itu akan menjejaskan kesihatan diri dan anak dalam kandungannya.



b) Semasa Kelahiran

Hadis
Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Apabila anak dilahirkan,setelah dibersihkan hendaklah segera dibisikkan ke telinga perihal keesaan dan keagungan Allah dan pesuruh Allah.
Bagi anak lelaki bisikkan ke telinganya azan dan bagi anak perempuan bisikkan ke telinganya iqamat.

Abu Rafi’ meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud :

“ Aku melihat sendiri Rasulullah S.A.W mengazankan Hasan bin Ali pada telinganya Ketika ia baru dilahirkan oleh Fatimah”
(Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)


Sebagai suapan yang pertama,sunat bayi disuapkan dengan air zam-zam atau manisan seperti madu dan kurma.Amalan ini dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat.Contohnya Rasulullah S.A.W sendiri melakukan kepada Abdullah bin Zubair r.a dan Abdullah bin Talha r.a.Abu Musa Al-Asyari r.a dalam sebuah riwayat mengatakan:

“Isteriku melahirkan seorang anak.Bayi itu ku bawa kepada Rasulullah S.A.W.Baginda menamakannya Ibrahim,kemudian diusap dengan buah kurma(yang telah dilumatkan)setelah itu baginda mendoakan keberkatan baginya lalu bayi itu diserahkan kembali kepadaku”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Disunatkan kepada ibubapa supaya bersedekah pada hari ketujuh kelahirannya dengan melakukan ibadah aqiqah.Seekor kambing bagi anak perempuan dan dua ekor kambing bagi anak lelaki.Rambutnya pula sunat dicukur keseluruhannya supaya kepalanya bersih,otaknya cergas dan rambut barunya akan tumbuh dengan subur dan sihat.Pilihlah nama yang elok dan baik untuk diberikan kepada anak pada hari tersebut.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

“Setiap anak yang baru dilahirkan bergantung kepada aqiqahnya.Hendaklah diaqiqahkan dengan menyembelih kambing pada hari ketujuh,diberi nama pada hari itu dan dicukur kepalanya”
(Riwayat Abu Daud,tarmizi dan Nasaie)

No comments:

Post a Comment