-

26.10.09

Mendidik Anak-anak Menurut Islam (Bahagian 2)

Anak-anak adalah amanah Allah yang perlu dijaga dan dididik sebaiknya semenjak kecil supaya apabila besar kelak akan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah serta mentaati kedua ibubapanya.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“ Dan ketahuilah,bahawa harta bendamu dan anak-anakmu itu adalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar.”
(Surah Al-Anfal Ayat 28 )


“Apabila anak Adam meninggal dunia,putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah,ilmu yang manfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya”
(Al-Hadith)


Umur antara 5-7 tahun

Pada peringkat umur antara 5 hingga 7 tahun adalah satu tempoh masa yang perlu mendapat perhatian yang serius.Teknik pembelajaran dan pengajaran perlu menggunakan kaedah yang sesuai kerana kanak-kanak banyak belajar berdasarkan pemerhatian iaitu apa yang dilakukan oleh mereka yang berada disekelilingnya.

Menurut pandangan Islam,anak-anak hendaklah didedahkan dengan latihan menulis,membaca,mengira dan berbahasa.Pada peringkat umur ini,anak-anak perlu didedahkan dengan ilmu-ilmu seperti:
-Ilmu aqidah
-Ilmu ibadah
-Ilmu akhlak

Dalam bab ibadah misalnya kanak-kanak yang baru meningkat umur mumaiyyiz hendaklah dilatih cara-cara berwudhuk dan mendirikan sembahyang.

Kanak-kanak juga perlu disemai dan ditanamkan dengan akhlak-akhlak yang mulia seperti:

-Adab terhadap ibubapa
(Memberi kesederan kepada anak-anak tentang pengorbanan ibubapa terhadapnya dan perlu bersyukur kerana masih mempunyai kedua ibubapa)

-Adab terhadap guru dan orang yang lebih tua
(Menjelaskan kepada anak-anak bahawa guru adalah adalah merupakan insan yang bertanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu manakala orang yang lebih tua adalah orang yang lebih berpengalaman berpengetahuan daripadanya)

-Adab percakapan
(Melatih anak-anak bercakap benar,sopan santun dan mengucapkan kata-kata yang baik)

-Adab pergaulan dengan rakan sebaya
(Menanamkan sikap tolong menolong dan menjauhi sifat berbangga diri,menyakiti dan mengambil hak orang lain)

-Adab makan dan minum
(Mulakan dengan membasuh tangan,duduk dengan sopan,membaca doa dan makan dengan menggunakan tangan kanan)

-Adab berpakaian
(Memilih pakaian yang menutup aurat dan bukan untuk menunjuk-nunjuk)


-Adab sebelum dan selepas bangun dari tidur
(Sebaiknya tidur mengadap kiblat dan mengiring ke kanan dan bersihkan diri sebelum dan Selepas bangun dari tidur)

-Adab masuk dan keluar tandas
(Diajar cara masuk ke dalam tandas seperti membaca doa,menutup kepala dan masuk dengan kaki kiri)

Kebiasaannya kanak-kanak begitu sensitif dengan pendengarannya,ia mudah meniru atau terikut-ikut dengan apa yang didengarnya.Oleh itu,jika ibubapa mahu menegur atau memarahi anak-anak hendaklah dengan menggunakan bahasa yang paling sopan dan menjauhkan atau mengelakkan dari menggunakan bahasa yang kesat,kasar dan keras.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Serulah manusia ke jalan tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik…”
(An-Nahl Ayat125)

Ajak anak kepada perubahan diri menggunakan kaedah yang berhikmah dan nasihat yang baik. Sehingga anak terdidik dengan rasional, sopan santun, akhlak, budi pekerti, dan semangat berbuat baik yang datang dari dalam diri, bukannya perlu dipaksa-paksa dan dimarah-marah.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas, maka berbicaralah kalian kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut”
(Surah Thaha Ayat 43-44)



Kepada Firaun yang begitu zalim pun Allah menyuruh Nabi Musa dan Harun untuk berbicara dengan lemah lembut, apatah lagi dengan anak sendiri? Bagaimana Musa berkata kepada Fir’aun?
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dan katakanlah (kepada Firaun), “Adakah kamu mempunyai keinginan membersihkan diri dan aku akan menunjukkan padamu jalan menuju kepada Tuhanmu supaya engkau takut kepadanya.”"
(Surah An-Naziat Ayat 18-19)

Maka, perhalusilah setiap perkara ini dan bertindaklah membentuk keluarga yang positif, berkasih sayang dan harmoni.Perkembangan intelek,emosi dan jasmani kanak-kanak bergantung kepada sempurna atau tidaknya asuhan yang diperolehi dalam tempoh tersebut.

Oleh itu,untuk menyempurnakan tugas ibubapa,taman-taman asuhan perlulah mempunyai kurikulum yang seragam untuk membentuk dan seterusnya melahirkan insan yang cemerlang di dunia dan akhirat dan bakal menjadi pemimpin unggul pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment